Latar belakang Membangun Bersama Islam

MBI merupakan satu slogan siasah ke arah menjana dan merealisasikan hasrat pelaksanaan Islam secara menyeluruh dalam urusan politik dan pentadbiran. Dengan kata lain ia bermaksud maju kehadapan dengan cara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam atau sesuai dengan ajaran Allah S.W.T. Slogan ini diatur dan dirangka bagi membolehkan kerajaan meletakkan kedudukan Islam dalam situasi yang selesa, samada dalam aspek melaksanakan ajaran Islam atau bagi tujuan melindungi kepentingan Islam[3]. Slogan MBI ini adalah selaras dengan prinsip kedaulatan syariah, prinsip keberkatan dan kesejahteraan dan prinsip keadilan dan ketakwaan, prinsip amanah dan tanggungjawab[2].

Dasar "Membangun Bersama Islam" merupakan asas penting dalam menentukan halatuju Kerajaan Kelantan. Ia merupakan falsafah politik yang dinamik dan telah berjaya mencetuskan produk-produk keislaman dalam pentadbiran semasa seperti: penonjolan Islam sebagai dasar kerajaan, pemakaian al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan tertinggi, peningkatan aktiviti kebajikan, program pembasmian dan pencegahan maksiat termasuk penghapusan kegiatan pelacuran, penyelarasan aktiviti kebudayaan dan kesenian mengikut prinsip Islam, penyediaan sistem perundangan Islam, peningkatan aktiviti dakwah dan penghayatan Islam, penyelarasan aktiviti ekonomi dan kewangan mengikut prinsip Islam, pengukuhan sistem pendidikan Islam, penerapan konsep kepimpinan ulama dan sebagainya. Secara keseluruhannya didapati Kerajaan Kelantan telah menggerakkan siasah syar`iyyah dalam skop bidang kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan Negeri sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Negara Sebab itu apabila Kerajaan Kelantan cuba menguatkuasakan sistem perundangan Islam, ia telah mendapat tentangan daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang akan disentuh dalam tajuk penyediaan sistem perundangan Islam.